Wednesday, 11 January 2012

Masalah Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Yang Berkaitan Dengan Kaedah, Strategi, Teknik, Pendekatan







PENDAHULUAN






Umumnya kaedah pengajaran bermaksud tindakan-tindakan yang guru lakukan dalam mengendalikan proses pengajaran-pembelajaran. Guru-guru terlatih adalah bijak memilih dan menggunakan kaedah yang paling sesuai bagi membantu pelajar-pelajar dan diri mereka dalam usaha mencapai objektif pengajaran yang telah dirancangkan. Pemilihan sesuatu kaedah atau strategi haruslah berasaskan kepada kriteria tertentu seperti gaya pembelajaran pelajar, tajuk pengajaran, jenis pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan, tahap pencapaian pelajar, persekitaran pembelajaran, nilai dan sikap yang ingin dipupuk.


Pembelajaran merupakan proses interaktif, iaitu hasil aktiviti guru dan pelajar yang menjadi elemen utama dalam suasana pembelajaran yang spesifik. Bentuk interaktif dalam pembelajaran berkait rapat dengan kefahaman guru tentang sifat setiap individu pelajarnya. Gregore & Ward (1977) mengatakan bahawa pendidik yang mahukan kejayaan tugasnya ke atas individu pelajar haruslah memahami makna ‘individu’, dan mereka mesti menghubungkan cara pengajaran dan cara pembelajaran individu berkenaan.


Bagi seseorang yang baru menjejak kakinya dalam arena pengajaran malah ramai guru yang berpengalaman, konsep pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran amat sukar dibeza-bezakan. Apa lagi terdapat orang yang menganggap bahawa semua istilah tersebut adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Ini adalah suatu perkara yang harus diberi perhatian yang serius kerana konsep-konsep tersebut adalah merupakan asas untuk membentuk sesuatu rancangan pelajaran harian yang sempurna oleh seseorang guru. Penjelasan tentang perhubungan di antara keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih yang menjalankan latihan mengajar supaya ilmu pedagogi yang dipelajari itu dapat diamalkan dalam bilik darjah.


Untuk menjelaskan konsep-konsep tersebut, perbincangan akan bermula dengan kaedah pengajaran dan diikuti oleh teknik pengajaran. Selepas kita telah jelas mengenai kedua-kedua konsep tersebut maka kita akan meneliti konsep strategi serta pendekatan pengajaran. Akhir sekali kita akan mengulas perhubungan kesemua konsep tersebut dalam situasi pengajaran.


Guru disarankan melakukan perubahan dalam gaya pengajaran mereka di bilik darjah supaya disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar tetapi amalan para pendidik masih lagi tidak berubah. Sementara itu, guru didesak untuk menggalakkan inisiatif pelajar dan memberinya peluang untuk menyumbang dalam pembelajaran diri . Guru sering meluahkan kekecewaan atas sikap pasif pelajar menerima pengajaran mereka tanpa memikirkan bahawa pelajar juga mungkin kecewa dengan gaya pengajaran guru. Raiff (1992) menyatakan, memahami gaya pembelajaran seseorang pelajar dengan cara yang terbaik akan membantu guru mengurangkan kekecewaannya dan kekecewaan pelajar tersebut.


Dalam konteks memahami sifat pelajar, gaya pembelajaran menjadi indikator bagaimana seseorang pelajar belajar dan cara belajar yang digemarinya. Gaya pembelajaran juga dianggap sebagai strategi pengajaran kerana pemahaman mengenai gaya pembelajaran seseorang pelajar memberikan maklumat tentang kognisi konteks dan kandungan pembelajaran.


Mengikut Wan Zahid (1993), perlaksanaan Kurikulum (KBSR) dan Kurikulum (KBSM) ini membawa kepada perubahan penekanan daripada pendekatan tradisional kepada pendekatan baru dalam proses pembelajaran disekolah, dimana beliau menegaskan bahawa pembelajaran yang tertumpu kepada pelajar (child centered) mesti diamalkan dan sebaliknya mengurangkan atau menghapuskan pembelajaran yang tertumpu kepada guru (teacher centered).


Dalam pembelajaran individu, Ingham (1992) dan Wan Zahid (1993) mengesyorkan agar para guru, pelajar dan ibubapa memahami stail pembelajaran pelajar dan menganggap perbezaan yang ada pada diri seseorang pelajar itu merupakan satu keistimewaan dan mereka dapat menggunakan keistimewaan itu secara berkesan dalam pembelajaran mereka. Satu perancangan yang teliti dan sistematis amat diperlukan memandangkan stail belajar individu merupakan satu aspek yang begitu penting dalam pendidikan masa kini dan akan datang. Apabila kaedah, sumber dan program dipadan-suaikan dengan stail belajar pelajar, maka pencapaian akademik dan sikap pelajar akan meningkat. Gaya belajar seseorang adalah berbeza antara satu dengan lain tanpa mengambil kira umur, status sosioekonomi atau IQ. Selari dengan pendapat tersebut Wan Zahid (1993) menyarankan agar pengajaran dan pembelajaran disesuaikan dengan stail gaya belajar individu.










KAEDAH DAN TEKNIK






Sebelum kita membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita memikirkan secara umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat.


Lantaran itu, jika kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedah-kaedah memasak yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang biasa kita gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus. Begitu juga kalau kita diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola kita akan menyatakan kaedah-kaedahnya adalah seperti sepakan sering, sepakan tinggi, sepakan grounder, sepakan banana serta bermacam-macam lagi. Satu lagi contoh ialah jika kita ingin peri memburu harimau di dalam hutan, kaedah-kaedah yang kita boleh gunakan adalah seperti menembak dengan senapang, memanah, menjerat, menikam atau menombak.


Andaikan kita ingin memasak ikan dengan kaedah menggoreng. Maka sudah tentu kita perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah tersebut. Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu, bolehlah kita menyatakan bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu yang disusun dengan sistematik. Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya. Untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali, suatu lagi teknik ialah memasukkan sedikit garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Api juga harus dikawal supaya tidak terlalu panas. Kesemua tindakan yang spesifik ini adalah disebut sebagai teknik menggoreng. Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara memanggang pula adalah amat berbeza.


Oleh itu, untuk menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah disertai dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai teknik-teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan tercapainya matlamat kaedah yang diingini.






KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN






Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti penceritaan, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Socratik dan lain-lain lagi.


Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.


Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu berlangsung.


Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada serta kadar percakapan, bahasa yang sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajar dan lain-lain lagi.


Satu lagi contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan kaedah soalan maka kita perlu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.


Jadi jika kita hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah yang sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak berkesan. Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun demikian, untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai teknik-teknik demostrasi.


Sebagai kesimpulan, bila kita sebut teknik pengajaran kita mesti bertanya teknik pengajaran untuk kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai teknik-teknik yang tertentu.






PENDEKATAN






Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertian yang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.


Sebagai contoh, pendekatan-pendekatan memasak ikan yang kita boleh gunakan ialah seperti pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati keutamaan ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan ciri-ciri makanan seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi kepada rasa seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori atau ciri-ciri makanan seimbangan. Pendekatan Barat ini adalah amat berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi pemakanan yang mempunyai prinsip-prinsip makanan serta hubungannya dengan kesihatan.


Suatu lagi contoh tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan seseorang dalam belajar bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan profesional atau pendekatan konvensyenal (tradisional atau acquired) atau biasa. Bagi pendekatan profesional, semua kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsip-prinsip sains yang sangat bersistematik. Manakala bagi pendekatan konvensyenal, kaedah-kaedah bermain dipelajari berdasarkan pengalaman, perbincangan informal serta dengan pemerhatian.






PENDEKATAN PENGAJARAN






Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan menyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.


Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.


Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.


Pendekatn yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru manakala pengajaran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.


Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran.






STRATEGI






Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Seseorang panglima tentera harus memikirkan strateginya untuk mempertahankan kedudukannya atau menyerang kubu musuhnya.


Andaikan kita menggunakan contoh memasak ikan semula. Kalau kita ingin memasak seekor ikan yang agak besar (5 kilogram) kita perlu merancangkan strategi memasak supaya kita dapat kepuasan dan faedah yang paling banyak dengan menggunakan masa, tenaga serta sumber yang paling minimum. Di sini kita perlu merancangkan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memasak ikan tersebut. Umpamanya adalah kita menggoreng kepalanya, merebus ekornya, memanggang tulang diikuti dengan mendidihnya dalam sup, menjerut telurnya dan sebagainya. Kaedah manakah yang kita buat terlebih dahulu? Pendekatan timur atau barat yang patut diikuti untuk memasak? Rancangan yang lengkap ini boleh disebut sebagai strategi memasak.


Untuk memenangi sesuatu pertanding badminton, seseorang pemain bukan sahaja perlu menguasai segala kaedah untuk menghantar bola tangkis kepada lawannya tetapi ia juga perlu merancangkan strategi permainan itu. Strategi permainan adalah seperti bermain secara bertahan pada pemainan pertama untuk meletihkan musuh dan kemudiannya menyerang dengan secara smash yang kencang pada pemainan kedua. Adakah dia sengaja bermain sebanyak 3 atau 2 pemainan sahaja. Jika pemain itu menguasai semua kaedah menghantar bola tangkis dengan sempurna tetapi strategi permainannya tidak sesuai mana ia akan ditawan. Oleh sebab itu, ada kalanya pasukan yang mahir dalam semua kaedah permainan dikalahkan sebab strategi permainan tidak sesuai.






STRATEGI PENGAJARAN






Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan strategi pengajaran.


Sebagai contoh, untuk mengajar sebuah kelas berenang, strategi pengajaran harus mempertimbangkan pendekatan yang digunakan serta kaedah-kaedah yang perlu digunakan. Adakah kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan kumpulan kecil? Bila kita menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita gunakan pendekatan induktif atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah kaedah pengajaran yang boleh kita gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah demostrasi dan kaedah latih tubi yang manakah kita gunakan terlebih dahulu? Bagaimanakah kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang lengkap yang mengandungi pendekatan dan kaedah adalah strategi mengajar yang dimaksudkan.


Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, dalam bilik darjah KBSM yang biasanya terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana serta kumpulan cergas. Guru terpaksa memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasi berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.


Kita biasanya mendengar pendapat bahawa tiada terdapat mana-mana kaedah yang paling baik sekali. Ini amat benar kerana kaedah-kaedah mengajar mestilah diatur untuk membentuk strategi pengajaran mengikut keadaan di mana proses pengajaran itu berlaku. Jelasnya sesuatu kaedah pengajaran tidak menjaminkan pencapaian matlamat pengaajaran. Yang lebih penting adalah interaksi kaedah itu dengan kaedah-kaedah lain.

No comments:

Post a Comment